• 2025-10-02 07:37 PM

‎SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM8.4 juta dalam serbuan di beberapa lokasi di Selangor dari 23 hingga 26 Sept lepas.

‎‎Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seberat 106 kilogram (kg) terdiri daripada ketamin (63.7 kg), ekstasi (27.7 kg), bunga ganja (12.3 kg) dan syabu (2.5 kg) dengan nilai sitaan barangan lain berjumlah RM149,540.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang seorang lelaki tempatan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menarik sebuah bagasi di sekitar Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Sept.

“Pemeriksaan ke atas suspek berusia 42 tahun yang bekerja dengan syarikat kontraktor binaan itu menemukan bunga ganja seberat 12.3 kg, selain didapati mempunyai 16 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

‎‎”Saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM432,000 dan barangan itu dipercayai untuk dihantar ke luar negara,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

‎Shazeli berkata pada hari sama, pihaknya merampas dua bungkusan plastik berisi dadah jenis ekstasi seberat 26.5 kg yang telah ditinggalkan dalam sebuah kereta di sekitar Bagan Sekinchan, Sabak Bernam selepas mengejar seorang lelaki tempatan pada kira-kira 7.30 malam.

Beliau berkata melalui risikan, polis akhirnya berjaya menahan lelaki berkenaan di Wangsa Maju kira-kira 10.30 malam, 26 Sept.

‎‎”Suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan ini tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan negatif dadah. Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM4.3 juta, selain turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM22,000 dan pelbagai mata wang berjumlah RM540,“ katanya.

Shazeli berkata kes ketiga melibatkan rampasan dadah jenis ketamin seberat 47 kg pada 24 Sept selepas menahan dua lelaki warga asing ketika mereka sedang memunggah dua beg dari sebuah rumah ke sebuah kereta di unit pangsapuri di Kajang.

‎Beliau berkata pemeriksaan lanjut di rumah yang disewa suspek menemukan dadah disyaki jenis ekstasi seberat dua kg yang kemudiannya membawa kepada serbuan ke atas sebuah kereta di kawasan rumah sama dan menemukan 16.7 kg dadah jenis ketamin dengan nilai keseluruhan rampasan dianggar RM3.5 juta.

‎‎Shazeli berkata suspek masing-masing berusia 35 dan 36 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan itu dipercayai masuk ke negara ini semata-mata untuk bekerja dengan sindiket dadah.

‎‎”Serbuan ini turut menyaksikan sebanyak lima buah kereta dengan anggaran nilai RM127,000 disita dan kita percaya dadah berkenaan adalah untuk pasaran Lembah Klang,“ katanya.

Shazeli berkata pada 26 Sept, pihaknya telah menahan seorang pengganggur warga tempatan berusia 25 tahun di Hulu Langat selepas mengesan sebuah bungkusan berisi dadah jenis syabu seberat 2.5 kg yang disorokkan di dalam tabung ekzos motosikal.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai telah mengirim bungkusan berkenaan untuk dihantar ke luar negara dengan nilai rampasan kes ini berjumlah RM80,000 dan suspek didapati mempunyai dua rekod lampau selain positif amphetamine dan methamphetamine.

‎‎”Kesemua suspek direman tujuh hingga 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya- Bernama