IPOH: Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki geng mencuri ayam di sekitar Tapah yang membabitkan kerugian kira-kira RM27,000 pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata ketiga-tiga suspek yang berusia antara 33 hingga 43 tahun itu ditahan pada 23 Dis lepas di beberapa lokasi sekitar Rawang, Selangor.
Beliau berkata dengan tangkapan ketiga-tiga lelaki itu, pihak polis percaya telah menyelesaikan enam kes kecurian melibatkan kehilangan 66 bakul ayam di Tapah.
“Siasatan mendapati suspek menggunakan lori sendiri atau yang disewa untuk mengangkut ayam-ayam berkenaan dan dijual di pasar Rawang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Naim berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dengan ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata dua daripada suspek berkenaan direman hingga 27 Dis manakala reman seorang lagi suspek berakhir hari ini.