GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan empat lelaki dan dua wanita sekali gus menumpaskan kumpulan jenayah samun dan pecah kuil di tiga daerah di negeri itu dalam siri serbuan baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen negeri telah melancarkan operasi khas bermula 3 Julai hingga 23 Ogos lepas sebelum berjaya menahan enam warga tempatan berusia 18 hingga 42 tahun itu.

“Dalam operasi itu, polis menjalankan lima serbuan di Selangor dan Pulau Pinang sebelum menahan kesemua suspek tersebut yang dipercayai terlibat kegiatan samun dan pecah kuil di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan iaitu tiga daerah di tanah besar negeri ini.

“Siasatan mendapati kumpulan itu aktif menjalankan kegiatan jenayah sejak 2022 dan susulan penahanan mereka, polis merampas sebuah motosikal, wang tunai RM600, beberapa keping resit pajak gadai dan berjaya mendapatkan semula rantai emas yang disamun, daripada sebuah kedai pajak gadai di negeri ini,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata empat daripada enam suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau di bawah kesalahan jenayah dan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.