KUALA LUMPUR: Polis menahan 14 individu disyaki terlibat dalam sindiket pusat panggilan aktiviti penipuan dalam talian, dalam serbuan di lapan unit kondominium mewah di Persiaran Stonor, di sini, Rabu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka terdiri daripada 12 warga asing iaitu seorang lelaki warga Turkiye, tujuh lelaki dan empat wanita warga China serta dua lelaki warga tempatan, kesemuanya berusia dalam lingkungan 28 hingga 52 tahun.
“Polis merampas wang tunai RM4.8 juta, pelbagai mata wang asing, dua kenderaan Toyota Alphard, pelbagai gajet serta barangan berjenama mewah membabitkan nilai keseluruhan RM7 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak Oktober tahun lepas dan terlibat dalam penipuan permainan dalam talian yang menawarkan hadiah berbentuk gajet seperti peranti telefon, komputer dan barangan jenama mewah dengan sasaran mangsa dalam kalangan warga China.
Ahli sindiket itu, katanya perlu menyertai aplikasi sembang dan forum di China berkaitan permainan dalam talian, sebelum mempelawa pemain-pemain baharu dari negara itu untuk menyertai platform mereka yang kononnya menawarkan hadiah kemenangan yang lebih besar dan mewah.
“Mangsa yang berminat akan diminta untuk memuat turun aplikasi berkenaan sebelum diarahkan untuk membuat pembayaran bagi menyertai pertandingan.
“Selepas itu mangsa sekali lagi dikenakan bayaran tambahan bagi meneruskan permainan, namun setelah bayaran dibuat, sindiket itu tidak lagi dapat dihubungi,” katanya.
Siasatan turut mendapati kesemua unit kondominium mewah itu yang dianggarkan bernilai RM16 juta, dimiliki oleh seorang daripada ahli sindiket terbabit yang merupakan warga China.
Beliau berkata polis percaya sindiket berkenaan terlibat dengan aktiviti jenayah yang sama di Filipina, dan menggunakan wang keuntungan yang diperoleh di sana untuk membeli aset di Malaysia.
Kesemua 12 individu warga asing itu direman hingga Ahad ini, manakala dua warga tempatan direman dua hari hingga hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.