SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket jual cecair vape disyaki mengandungi dadah selepas menahan dua lelaki tempatan dan 10 warga asing dalam serbuan berasingan di sekitar Klang Utara dan Sungai Buloh pada 10 serta 11 Jun lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sebanyak 663 katrij cecair vape mengandungi dadah methamphetamine, 4,600 pod dan 158 tong plastik berisi cecair vape disyaki dadah jenis amphetamine dan ketamin dengan jumlah keseluruhan RM5.109 juta dirampas dalam serbuan melibatkan sebuah premis jualan vape di Klang serta kilang yang dijadikan tempat pembungkusan cecair vape di Sungai Buloh.

Beliau berkata nilai rampasan cecair vape termasuk nilai sitaan barangan lain adalah RM99,873, yang terbesar melibatkan penyalahgunaan dadah dalam bentuk vape tahun ini.

Hussein berkata bagi kes pertama, polis menahan seorang lelaki tempatan di sebuah premis menjual vape di Klang dan merampas 663 katrij berisi cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran isipadu 1,260 mililiter.

“Siasatan mendapati suspek berusia 21 tahun itu adalah jurujual di premis yang telah beroperasi sejak empat tahun lepas.

“Suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain polis turut menyita wang tunai bercampur-campur bernilai RM1,073 dan sebuah kereta Mazda CX-5 bernilai RM40,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata dalam serbuan kedua sekitar 12.30 tengah malam pada 11 Jun, polis menahan seorang lelaki tempatan bersama enam lelaki dan empat warga asing di sebuah premis yang dijadikan tempat pembungkusan cecair vape di sekitar Sungai Buloh.

Beliau berkata lelaki tempatan itu adalah pengurus perniagaan, manakala semua warga asing berperanan sebagai pembungkus cecair vape di premis yang beroperasi sejak enam bulan lepas.

Mengulas lanjut, Hussein berkata semakan juga mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 38 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan di negara ini, selain mereka juga negatif dadah.

“Nilai rampasan bagi kes ini bernilai RM4.910 juta dan kesemua dadah itu dipercayai dipasarkan sekitar Lembah Klang dan negara jiran.

“Polis turut menyita seutas rantai kekuningan bernilai RM3,200, tiga bentuk cincin (RM3,500), wang tunai bercampur-campur bernilai RM7,200 serta sebuah kereta BMW bernilai RM45,000,” katanya.

Hussein berkata semua suspek direman lima hingga tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Hussein berkata pihaknya sedang memburu seorang warga asing yang dipercayai terlibat mengajar pengurus perniagaan di premis pembungkusan di Sungai Buloh mengenai cara-cara pemprosesan cecair vape bercampur dadah.

Beliau berkata warga asing yang bertindak menyediakan bahan mentah untuk pemprosesan cecair vape itu juga dipercayai adalah rakan kongsi kepada suspek warga tempatan berkenaan.

“Lelaki tempatan ini kemudiannya mengupah 10 warga asing terbabit untuk bekerja dengannya, dan pemasaran cecair vape dibuat secara kurier kepada individu yang menjual vape secara runcit selain dibawa ke negara jiran melalui jalan darat,” katanya.