PUTRAJAYA: Portal MyInvois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini boleh diakses bagi tujuan pengeluaran dan penghantaran e-Invois.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketersediaan portal MyInvois itu membuktikan komitmen agensi berkenaan dalam memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar terutamanya dalam kalangan pembayar cukai Fasa 1 yang akan menggunakan e-Invois secara mandatori mulai 1 Ogos ini.

“Menerusi perkembangan terbaharu ini, pembayar cukai boleh mengemukakan e-Invois kepada LHDN melalui dua kaedah iaitu Integrasi Application Programming Interface (API) (bagi syarikat yang mempunyai sistem perisian sendiri) dan portal MyInvois yang boleh diakses secara percuma di https://mytax.hasil.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Sebagai maklumat tambahan, Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 3.0) dan Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 2.2) telah dimuat naik di Laman Mikro e-Invois di portal LHDN menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai.

“Software Development Kit (SDK) Versi 1.0 juga telah dikemas kini dengan fungsi terbaharu iaitu pengesahan tandatangan digital,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan berhasrat melaksanakan e-Invois secara berperingkat dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran cukai di Malaysia, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu satu daripada tumpuan utamanya adalah untuk mengukuhkan infrastruktur perkhidmatan digital dan mendigitalkan pentadbiran cukai.

E-Invois juga membolehkan pengesahan dan penyimpanan transaksi hampir masa nyata, memenuhi transaksi perniagaan-ke-perniagaan (B2B), perniagaan-ke-pengguna (B2C) dan perniagaan-ke-kerajaan (B2G).