PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) telah mengenal pasti beberapa lokasi strategik untuk mewujudkan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), seiring dengan hasrat untuk menyediakan 500 unit pengecasan EV di Putrajaya menjelang 2030.

Setakat ini 23 stesen pengecas EV telah diwujudkan di Putrajaya, dan menjelang hujung tahun ini jumlah dijangka meningkat kepada 50.

Presiden PPj Datuk Fadlun Mak Ujud dalam kenyataan hari ini berkata ia adalah sebagai sokongan kepada aspirasi Putrajaya menjadi bandar rendah karbon selain memenuhi keperluan pengguna kenderaan EV yang semakin meningkat.

Antara lokasi strategik yang telah dikenal pasti untuk pembangunan stesen pengecasan pada masa hadapan termasuk di Laman Perdana, Kompleks PPj, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Taman Saujana Hijau, Marina Putrajaya, Putrajaya Sentral dan Kelab Tasik Putrajaya.

Terdahulu hari ini, PPj dengan kerjasama Gentari Sdn Bhd (Gentari), melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd telah melancarkan stesen pengecas EV baharu di Taman Ekuestrian Putrajaya, di sini.

Fadlun berkata stesen pengecasan yang menyediakan kuasa AC (arus ulang alik) sehingga tujuh kilowatt itu juga merupakan contoh kerjasama Putrajaya dengan pemain tenaga global untuk membangunkan kemudahan EV terkini untuk komuniti dan pengunjung ke Putrajaya.

“Kami berbesar hati untuk melancarkan kemudahan terbaharu ini di Putrajaya dengan kerjasama swasta yang sama-sama komited untuk mempercepatkan peralihan bandar Putrajaya ke arah masa depan yang mampan,” katanya.