KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) merekodkan kutipan zakat berjumlah RM62.86 juta menerusi tiga kempen yang melibatkan 20,688 pembayar zakat.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata kempen Jom Tambah, Semarak Zakat dan Jom Ulang diadakan bagi menggalakkan lebih ramai individu untuk menunaikan zakat melalui PPZ-MAIWP.
“Pada masa sama, kempen ini turut memperkukuh usaha PPZ-MAIWP dalam meningkatkan kutipan zakat, sekali gus memastikan lebih ramai asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat menerima manfaat yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PPZ-MAIWP memaklumkan nilai yang dicatatkan tidak termasuk jumlah kutipan keseluruhan Kempen Jom Ulang yang hanya akan berakhir 31 Disember ini.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kempen diadakan di ibu pejabat PPZ-MAIWP, Cheras semalam dengan hadiah utama termasuk pakej percutian, pakej umrah dan motosikal.
Seramai 28 pemenang utama hadir bagi menerima penghargaan dengan tujuh daripadanya adalah pemenang utama Kempen Jom Tambah.
Secara keseluruhan, seramai 327 pembayar bertuah dipilih sebagai pemenang selepas tempoh kempen berakhir.
PPZ-MAIWP menyeru mereka yang pernah menunaikan zakat di PPZ-MAIWP untuk mengulangi kebaikan dengan kembali menunaikan zakat melalui Kempen Jom Ulang yang masih berlangsung hingga akhir tahun ini.
Orang ramai masih berpeluang menyertai kempen ini di mana setiap penyertaan membuka peluang memenangi hadiah menarik dan memperluas manfaat kepada asnaf di Wilayah Persekutuan.
PPZ-MAIWP juga menyeru individu dari sektor awam dan swasta untuk menyertai Kempen Jom Potong dengan memulakan atau menambah potongan zakat bulanan melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).
Antara hadiah menanti pemenang adalah pakej percutian enam negara, pakej umrah, motosikal, Playstation 5 (PS5), Macbook Air dan pelbagai hadiah menarik.
Untuk maklumat lanjut mengenai zakat dan kempen yang sedang berlangsung, orang ramai boleh melayari portal rasmi PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my. – Bernama