PUTRAJAYA: Presiden Maldives Dr. Mohamed Muizzu akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 27 hingga 30 April bagi mengukuhkan hubungan dua hala merentasi pelbagai sektor.
Lawatan itu merupakan lawatan julung kalinya ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Maldives pada 17 Nov 2023.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan Muizzu akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra pada 28 April, diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta peluang kerjasama antara Malaysia dan Maldives khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan.
Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu MoU mengenai Kerjasama dalam bidang Pelancongan, MoU mengenai Kerjasama dalam bidang Sukan dan MoU mengenai Kerjasama dalam bidang Kesihatan.
“Selain itu, pertukaran dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) akan turut disaksikan oleh kedua-dua pemimpin melibatkan bidang Latihan Diplomatik dan penubuhan Konsultasi Dua Hala antara Malaysia dan Maldives,“ menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri juga akan menghoskan Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Rasmi bagi meraikan pemimpin itu di Kompleks Seri Perdana.
Pada 29 April (Selasa), Muizzu akan dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Penganugerahan ijazah kehormat itu akan disempurnakan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
Sempena penganugerahan itu, Muizzu juga akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilization”.
Muizzu akan diiringi menteri Kabinet Maldives, termasuk Menteri Luar Dr. Abdulla Khaleel dan pegawai kanan kerajaan semasa lawatan ke sini.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (US$189 juta), berbanding RM827.3 juta (US$180.9 juta) pada 2023.
Maldives merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.