• 2025-10-06 02:05 PM

KUALA LUMPUR: Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan peningkatan pada 2024 dengan penurunan defisit kepada RM12.22 bilion.

Nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menurun kepada 4.1% berbanding 5.0% pada 2023.

Pinjaman tahun 2024 juga menurun sebanyak RM39.26 bilion atau 16.3% berbanding RM241.51 bilion pada 2023.

Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan berjumlah RM324.62 bilion, meningkat RM9.66 bilion atau 3.1% berbanding 2023.

Bagaimanapun, lebihan hasil menurun RM0.58 bilion atau 15.8% berbanding RM3.69 bilion pada 2023.

Baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan meningkat RM0.32 bilion atau 3.1% berbanding baki defisit tahun 2023 berjumlah RM10.21 bilion.

Nisbah Liabiliti Persekutuan kepada KDNK menurun daripada 81.8% kepada 81.7% pada 2024.

Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian terhadap peningkatan Liabiliti Persekutuan berjumlah RM86.05 bilion (5.8%).

Ini termasuk peningkatan Hutang Persekutuan berjumlah RM75.11 bilion berbanding 2023.

Pihak audit mengesyorkan Kementerian Kewangan memantapkan mekanisme kutipan hasil, terutamanya Hasil Cukai Langsung.

Tindakan lebih berkesan perlu diambil untuk mengutip Akaun Belum Terima dan mengelak sebarang hapus kira yang boleh merugikan Kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Kewangan juga disyorkan untuk memantau dan menilai prestasi pengurusan kewangan syarikat Kerajaan Persekutuan secara konsisten,“ menurut laporan itu.

Kadar pertumbuhan Hutang Persekutuan menunjukkan trend penurunan daripada 11.4% pada 2021 kepada 6.4% pada 2024.

Bayaran balik prinsipal pinjaman matang pada 2024 menurun sejumlah RM17.84 bilion (12.7%) kepada RM122.34 bilion.

Perbelanjaan Kerana Hutang Negara pada 2024 meningkat sejumlah RM4.15 bilion (9.0%) kepada RM50.48 bilion.

Peningkatan ini adalah bagi bayaran faedah baki Hutang Persekutuan berjumlah RM1.25 trilion setakat 31 Disember 2024.

Pihak audit negara mengesyorkan Kerajaan Persekutuan memastikan pengurusan Hutang Persekutuan yang berhemat.

“Langkah konsolidasi fiskal perlu diteruskan bagi memastikan pinjaman baharu adalah lebih rendah berbanding semasa pandemik tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.”

“Paras hutang tidak melebihi 60% kepada KDNK dapat dicapai dalam jangka masa sederhana seperti ditetapkan di bawah Akta 850.”

Kerajaan Persekutuan dinasihatkan memberi perhatian terhadap pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik pinjaman yang akan matang.

Kerajaan perlu menyediakan peruntukan bagi melunaskan pinjaman yang akan matang berjumlah RM490.02 bilion dalam tempoh lima tahun. – Bernama