TAPAH: Perikatan Nasional (PN) menumpukan aspek pemerkasaan ekonomi setempat dan pembangunan prasarana luar bandar dalam manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan dibentangkan minggu depan.
Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad berkata manifesto itu juga akan menekankan bidang pendidikan, kebajikan serta pemerkasaan peranan belia dan wanita.
“Manifesto ini dirangka berdasarkan tinjauan lapangan yang mengambil kira keperluan penduduk dan bukannya bersifat retorik atau sekadar janji pilihan raya,“ katanya pada sidang media harian PN bagi PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin Malek (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April manakala pengundian awal pada 22 April.