MELAKA: Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang ditampilkan UMNO-Barisan Nasional (UMNO-BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, berkemampuan untuk merampas kembali kerusi DUN berkenaan.

Setiausaha BN Kelantan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata Mohd Azmawi Fikri yang merupakan calon anak tempatan, telah lama berkhidmat di kawasan tersebut dan dilihat sewajarnya dipilih masyarakat di situ untuk mewakili mereka, sekali gus menambah suara di DUN Kelantan.

“Ini semua tentang (DUN) Nenggiri, kita mahu pilih fasilitator jaga kawasan, wakil tempatan dan beliau calon paling awal diumumkan, sedangkan mereka (lawan) masih struggle.

“Kawasan itu terdiri kampung tradisi, peneroka, selain kira-kira 2,500 Orang Asli... banyak isu mengenai rakyat, pembangunan kawasan itu yang perlu diberi perhatian,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di Dewan Tun Ali Bukit Katil, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Md Alwi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata dengan kerja keras dan usaha padu semua pihak, beliau percaya ia dapat memberi kemenangan kepada BN untuk merampas semula kerusi DUN berkenaan.

Pada 19 Jun, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong, selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari pengundian.