CHUKAI: Seramai 1,198 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi memastikan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman esok, berjalan lancar dan aman, termasuk sekiranya berlaku banjir.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata jumlah itu melibatkan kekuatan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu serta bantuan daripada Bukit Aman.
“Setakat hari ini semua persiapan diaturkan berjalan lancar... semua elemen yang kita susun dan strategi yang dibuat tercapai dan berada dalam terkawal dan selesa.
“Pada hari ini kita masih jangkakan mungkin tidak ada banjir...bagaimanapun semua perancangan awal melibatkan PRK sekiranya berlaku banjir esok sudah siap dan saya berpuas hati dengan semua persiapan antara pihak PDRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta lain-lain agensi yang terlibat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau persiapan akhir pengundian PRK Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman hari ini.
Berpuas hati dengan perjalanan kempen yang aman tanpa insiden tidak diingini, Mazli mengingatkan calon dan penyokong untuk terus mematuhi peraturan ditetapkan, termasuk tempoh berkempen yang tamat tengah malam ini.
“Kedua-dua calon dan penyokong daripada kedua-dua parti berkempen dengan terkawal dan patuh kepada peraturan dan undang-undang sedia ada, serta tidak timbul banyak masalah dari segi tugas-tugas PDRM dan SPR,” katanya.
Dalam pada itu Mazli berkata tujuh laporan diterima polis sepanjang kempen berlangsung melibatkan jamuan makan dan isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). - Bernama