KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan akan diumum dalam minggu ini.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata calon akan dipilih daripada individu yang memenuhi kriteria boleh menang seperti ditetapkan oleh kepimpinan parti itu.

“Calon adalah anak tempatan dan ada jawatan di kawasan itu... kita akan pilih yang terbaik, ada dalam kategori WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima), likeable (disukai) serta boleh membawa perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Nenggiri dan Gua Musang keseluruhannya,” kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan peserta program Inisiatif Institut Malaysia-China (MCI) di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani adalah antara nama yang bakal diangkat sebagai calon BN pada PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, pada 19 Jun lepas, mengumumkan kekosongan kerusi itu susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kepimpinan parti menyerahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membuat keputusan mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai PAS yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Ab Rauf dan saya serahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri itu selaku Pengerusi BN Melaka dan tindakan yang akan dilakukan kita akan bawa kepada Majlis Kerja Tertinggi,“ katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Muhamad Jailani tidak perlu mengosongkan kerusi memandangkan kedudukan beliau sebagai ADUN Rembia tidak tergugur kerana penyertaan ke dalam PAS adalah sebelum pindaan Perlembagaan Melaka dilakukan.

Ahmad Zahid turut ditanya sama ada wujud gerakan dalam kalangan Ahli Parlimen gabungan itu untuk menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata setakat ini beliau tidak menghidu wujud gerakan untuk berpaling tadah seperti itu berlaku dalam BN.

Pada 29 Jun lepas, Ahli Jawatankuasa PAS Tan Sri Annuar Musa mendakwa 11 Ahli Parlimen BN diikuti wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan akan mengalih sokongan sekiranya Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul tidak mengumumkan kekosongan enam kerusi wakil rakyat Bersatu yang telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.