NIBONG TEBAL: Inisiatif Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) membuka Pusat Media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, dilihat memberi kemudahan kepada petugas media yang membuat liputan sepanjang dua minggu PRK itu berlangsung sejak 22 Jun.

Disebabkan kesukaran mencari tempat atau lokasi sesuai untuk ‘mengetuk’ laporan berita terutamanya di bandar kecil seperti Sungai Bakap, pusat media yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya capaian Internet berkelajuan tinggi itu, dimanfaatkan sepenuhnya petugas media dan menjadi lokasi terbaik untuk petugas media menyiapkan tugasan harian.

Pengarah Japen Pulau Pinang Hasmiza Hussin berkata pusat media itu turut menyediakan ruang yang lebih selesa dan kondusif untuk petugas media ‘berkampung’ di situ, serta mampu menerima kapasiti 40 orang dalam satu-satu masa.

“Di samping itu juga ruangan khas untuk kerajaan mahupun agensi yang ingin mengadakan sidang media bersama petugas media turut disediakan. Seramai empat ke lima orang petugas jabatan sentiasa ada bagi membantu rakan media mendapatkan maklumat di lapangan,” katanya selepas meninjau operasi pusat media itu di Kompleks Rakan Muda Jawi di sini semalam.

Pusat media itu mula beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 9 malam, bermula 22 Jun hingga 6 Julai.

Selain itu, Hasmiza berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) turut menyediakan kaunter aduan bagi membolehkan rakan-rakan media dan orang ramai melaporkan sebarang masalah liputan Internet dan telekomunikasi.

“Kami sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan terbaik bagi keselesaan petugas media dan berharap semua rakan media dapat hadir ke sini dan menggunakan kemudahan yang tersedia bagi melancarkan tugasan harian mereka serta mendapatkan maklumat yang betul dan sahih,” katanya.

Sementara itu, wartawan Malaysia Gazette Malinda Abdul Malik berterima kasih selain memuji usaha pihak kementerian dan Japen, yang menyediakan kemudahan selesa buat para petugas media sepanjang membuat liputan PRK itu.

“Tambahan pula, setiap hari disediakan makanan tengah hari jadi kami tidak perlu ke tempat lain untuk makan dan pada masa sama kami boleh buat kerja di sini,” katanya.

Wartawan Berita Harian Nur Izzati Mohamad pula berkata capaian Internet yang laju memudahkan petugas media menghantar laporan berita dengan cepat.

Selain itu, kedudukannya juga dilihat strategik kerana berdekatan dengan kebanyakan lokasi tugasan, selain ruang letak kereta yang disediakan juga banyak.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.