KOTA BHARU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyampaikan sumbangan barangan keperluan elektrik dan kit kebersihan penjagaan diri kepada Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) Datuk Wan Ramiza Wan Ghazali untuk dimanfaatkan oleh 83 penghuni rumah kebajikan warga emas tersebut.
“Barangan keperluan elektrik yang diberikan adalah tiga mesin basuh, masing-masing lima unit kipas siling, kipas berdiri dan kerusi malas serta 45 unit kit kebersihan penjagaan diri.
“Dalam program ini, LHDN turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi pembinaan Masjid Ibadur Rasheed,“ menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu menerusi program tersebut diharapkan semangat kebersamaan dan kesepaduan dapat dizahirkan sekali gus menyemarakkan rasa kasih sayang dalam masyarakat seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI. -Bernama