KUALA LUMPUR: Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bermula 8 hingga 10 Dis ini akan menjadi platform terbaik bagi rakyat untuk menyaksikan dan memahami segala pelaksanaan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh satu tahun pentadbiran.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata program yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil itu akan menawarkan informasi secara terus kepada rakyat mengenai perkara berkenaan melalui reruai pelbagai kementerian.
Beliau berkata program berkenaan bukan satu acara keraian atau sambutan pesta, sebaliknya lebih menjurus kepada hari Kerajaan MADANI bersama pelanggan.
“Ini platform yang akan kita manfaatkan untuk tingkatkan kesedaran umum tentang segala yang telah kita lakukan dan memberi kebaikan serta manfaat kepada rakyat.
“Selain itu, pelbagai pengisian ditawarkan antaranya mengenai Digital ID, malah pengunjung boleh mendaftar terus Digital ID mereka pada program ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia: Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Bernama TV pagi ini.
Fahmi berkata pengunjung turut berpeluang membeli barang keperluan harian mereka di reruai Jualan Mega MADANI dan Jualan RAHMAH selain membuat bayaran saman trafik di kaunter disediakan.
“Kita jangka lebih 100,000 atau menghampiri 200,000 pengunjung akan hadir pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI ini.
“Kita harap kehadiran pengunjung ini nanti, mereka akan pulang dengan kesedaran iaitu Kerajaan MADANI sudah berjaya melakukan banyak perkara asas dalam tempoh satu tahun pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata ia termasuklah mengangkat nama Malaysia ke mata dunia terutamanya dalam pendirian berkaitan penindasan terhadap rakyat Palestin selain usaha berterusan dalam aspek menstruktur semula ekonomi, memperkasakan ekonomi digital dan mengawal harga barang dalam memastikan negara kembali ‘mengaum’ sebagai Harimau Asia.
Fahmi berkata mereka yang ingin berkunjung pada program bermula Jumaat ini boleh merancang perjalanan sama ada menaiki kenderaan sendiri, menggunakan kemudahan bas ulang-alik (shuttle bus) atau Transit Aliran Ringan (LRT). - Bernama