• 2025-06-30 12:44 PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa projek Kota MADANI bukan sekadar menyediakan perumahan untuk penjawat awam, tetapi dirancang sebagai sebuah bandar moden berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Beliau menjelaskan bahawa projek ini merupakan langkah strategik kerajaan bagi menangani isu perumahan penjawat awam yang belum memiliki kediaman sendiri.

“Ini bukan projek biasa yang sekadar sediakan rumah, tetapi kita beri satu keselesaan yang luar biasa... Sekolahnya dekat, masjid, gimnasium dan taman permainan, semua faktor diambil kira, ia satu kota yang moden berkonsep MADANI,“ katanya dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Projek Kota MADANI di Presint 19, yang dilancarkan pada 26 Jun lalu, merupakan inisiatif mega berasaskan bandar pintar mesra alam sekitar. Projek bernilai RM4 bilion ini dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) melalui model kerjasama awam-swasta tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Anwar turut memuji usaha Perbadanan Putrajaya (PPj) yang telah membaik pulih hampir 98 peratus unit kuarters penjawat awam yang rosak. Namun, beliau mengakui permintaan masih tinggi.

Beliau juga membidas kritikan politik terhadap projek ini dan menyeru semua pihak melihatnya sebagai inisiatif jangka panjang yang tidak membebankan kerajaan secara langsung.

Kota MADANI bakal menempatkan 10,000 unit kuarters berintensiti tinggi, mampu menampung lebih 30,000 penduduk, lengkap dengan sekolah menengah dan pelbagai kemudahan awam. Fasa pertama dijangka bermula September ini dan siap menjelang 2027.