SHAH ALAM: Projek mitigasi banjir di bawah inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) berjaya menambah kapasiti air Sungai Klang sebanyak 18 peratus membabitkan 31 kilometer (km) jajaran aliran air bermula dari muara sungai hingga sempadan Petaling Jaya–Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata jarak itu meliputi dua daripada empat blok projek pelebaran dan pengorekan dasar sungai di sempadan Shah Alam–Klang hingga Shah Alam–Puchong dan dari muara sungai ke Bandar Klang, kedua-duanya meliputi blok tiga dan satu.
Beliau berkata kerajaan Selangor menerusi agensi berkaitan menyasarkan pertambahan kapasiti air sekurang-kurangnya 40 peratus hingga akhir tahun ini, selepas data sebelum ini menunjukkan Sungai Klang, khususnya di Selangor tidak dapat menampung lebihan air dari hulu.
“Blok tiga yang meliputi kawasan Sri Muda, Kota Kemuning, Seksyen 17 dan Seksyen 24 perlu diberi lebih perhatian kerana ia merupakan lokasi paling terjejas dalam kejadian banjir sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Syaiful Azmen berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai lawatan tapak Projek Mitigasi Banjir di Kota Kemuning, di sini hari ini yang turut dihadiri wakil pelbagai agensi termasuk kerajaan Selangor.
Projek SMG ialah inisiatif kerajaan Selangor yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang dengan LLSB merupakan pemaju induk projek dan bertanggungjawab melaksanakan tiga aktiviti utama projek, iaitu pembersihan, pemuliharaan serta pembangunan.
Syaiful Azmen berkata kerja pelebaran dan pengorekan dasar sungai bagi baki dua blok, iaitu kawasan Bandar Klang ke arah Bandar Sultan Sulaiman (blok dua) dan sempadan Shah Alam–Puchong hingga Petaling Jaya–Kuala Lumpur (blok empat) akan dilaksanakan tahun depan merangkumi jarak sejauh 28.8 km.
Projek di blok satu dan tiga katanya, akan berakhir pada hujung tahun ini sebelum memasuki fasa penambahbaikan dan pemerhatian selama dua tahun, dengan turut dikendalikan LLSB.
“Setakat ini, kami telah mengeluarkan 94,000 tan metrik sampah dengan kos pengendalian hampir RM20 juta, kos itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain sekiranya masyarakat cakna mengenai kebersihan sungai,” katanya.