KUALA SELANGOR: Projek sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram dekat sini yang berkemampuan melupuskan 3,000 tan metrik sampah pepejal sehari, dan berkapasiti menjana bekalan elektrik 52 megawatt (MW) sejam akan mula beroperasi pada 2026.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek kerjasama antara Worldwide Holdings Bhd (WHB) serta Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd itu menggunakan teknologi terkini yang paling selamat dan sesuai untuk negeri itu yang majoritinya adalah kawasan bandar.

Beliau berkata projek di atas tanah berkeluasan 12 hektar itu akan menerima kutipan sampah daripada enam pihak berkuasa tempatan dan teknologi yang digunakan berjaya mengurangkan penggunaan tanah sehingga 80 peratus selain membantu pemuliharaan alam sekitar dan membuka peluang ekonomi.

“Boleh saya katakan 70 hingga 80 peratus kambus tanah (landfill) itu tidak akan digunakan lagi hanya sebahagian diperlukan untuk meletakkan sisa-sisa. Saya yakin saiz penggunaan landfill tidak lagi seperti hari ini (pada masa depan).

“Kalau kita tengok di Tanjung 12 di Banting, kita hanya mungkin boleh bertahan dua atau tiga tahun lagi, di Jeram, saya ingat (mungkin) lagi tiga atau empat tahun akan habis. Kalau kita tidak buat apa-apa, kita perlu mencari tanah baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah tapak WTE berkenaan, di Jeram dekat sini.

Katanya, bagi kawasan yang dijadikan sebagai tapak pelupusan, tanah tersebut tidak boleh dibangunkan dalam tempoh 20 hingga 25 tahun.

Mengulas mengenai bantahan segelintir pihak mengenai pembinaan insenarator dalam WTE, Amirudin berkata ia bukan melibatkan insenarator yang sama pada tahun 80 atau 90-an sebaliknya menggunakan teknologi terkini yang dapat menjaga kualiti alam sekitar.-Bernama