• 2025-07-01 02:59 PM

PUTRAJAYA: Malaysia kini menerajui penyediaan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030, sebuah kerangka masa depan yang bertujuan memperkukuh daya tahan siber serantau secara kolektif, dan dijangka dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia telah meletakkan keselamatan siber sebagai satu daripada agenda utama serantau.

Beliau berkata selari dengan usaha negara memperkukuh penglibatan di peringkat global dalam aspek keselamatan siber, Malaysia juga memperteguh peranannya sebagai peneraju serantau dalam bidang tersebut.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menggesa agar Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN yang bakal diperkenalkan memberi tumpuan khusus kepada kerjasama masa nyata dalam kalangan negara anggota, terutamanya dalam aspek respons insiden, forensik digital, perkongsian data selamat dan penyelarasan dasar.

“Mekanisme ini mesti berteraskan prinsip kerahsiaan, kedaulatan dan kepercayaan bersama, yang menjadi asas penting dalam menangani ancaman keselamatan siber yang sensitif dan merentasi sempadan,” katanya ketika berucap pada Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2025 di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Advancing Cyber Resilience’, CYDES 2025 yang bermula hari ini dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (Jabatan Perdana Menteri) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn Bhd (AIS).

CYDES 2025 dijangka menghimpunkan 70 delegasi antarabangsa dari 20 negara serta lima organisasi global, sekali gus mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap usaha Malaysia mewujudkan persekitaran keselamatan siber yang lebih selamat, responsif dan berpaksikan kerjasama.

Ahmad Zahid turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh keupayaan keselamatan siber, khususnya dalam menghadapi landskap ancaman yang kian kompleks.

Merujuk kepada Indeks Kesiapsiagaan Keselamatan Siber 2025 di bawah Cisco, sebanyak 93 peratus organisasi telah mengalami serangan siber berpaksikan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh setahun lalu, namun hanya 51 peratus pekerja benar-benar memahami ancaman tersebut.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga mahir bersedia industri serta meningkatkan mobiliti sosial dalam sektor keselamatan siber.

“Ekosistem TVET Malaysia perlu berkembang menjadi saluran bakat berkemahiran tinggi yang diiktiraf di peringkat global dan mampu memberi impak ekonomi yang nyata.

“Inisiatif peningkatan kemahiran secara bersasar yang diterajui NACSA perlu dijadikan pemangkin utama dalam merealisasikan transformasi ini,” katanya.