PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas mekanik atas pertuduhan memproses 22.02 kilogram methamphetamine pada 2018.
Panel tiga hakim, Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, membenarkan rayuan T. Arujunan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara, dan sebatan yang telah dikenakan ke atasnya.
Hakim Datuk Ahmad Kamal ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah itu, memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal mengaitkan Arujunan, 38, dengan rumah tempat dadah tersebut ditemukan.
Beliau berkata walaupun kunci rumah itu ditemukan pada Arujunan, lelaki itu hanya menunjukkan lokasi rumah tersebut kepada polis, tanpa bukti kukuh bahawa dia terlibat dalam aktiviti di dalam rumah tersebut, tambahan pula terdapat bukti lain yang menyokong pembelaan Arujunan.
Ahmad Kamal berkata empat lelaki yang ditemukan di dalam rumah itu juga menafikan mereka mengenali Arujunan dan selain itu tiada barangan peribadi milik Arujunan ditemukan di rumah tersebut dan tiada kesan dadah ditemukan pada pakaian atau tubuh badannya.
Mahkamah juga bersetuju dengan hujahan peguam Arujunan bahawa walaupun rumah itu digunakan sebagai tempat memproses dadah, ia tidak membuktikan penglibatan langsung Arujunan.
Panel hakim yang sama juga telah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan terhadap empat warga India iaitu G. Nareshkumar, 32, S. Sivabalan, 44, R. Manikamdan Ravindren, 35, dan S. Satish Kumar Siva Lingan, 39, atas kesalahan memiliki dadah tersebut.
Hakim Datuk Ahmad Kamal berkata bahawa sabitan ke atas empat lelaki warga India itu untuk kesalahan memproses dadah dikekalkan dan memerintahkan mereka untuk memulakan hukuman penjara dari tarikh penangkapan mereka pada 27 Nov 2018.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi pada Oktober 2023 telah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan setiap seorang terhadap Arujunan dan empat lelaki itu atas pertuduhan memproses dadah di sebuah rumah di Jalan Kemajuan 12/18, Seksyen 12, Petaling Jaya, Selangor, pada 6 petang, 27 Nov 2018.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini, Arujunan diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan Nabilah Habib, manakala empat lelaki tersebut diwakili peguam Jay Moy dan J. Jayarubbiny.