SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd menyasar menjual sehingga 2,500 unit setiap bulan model Proton X50 2024 yang baru dilancarkan berdasarkan sambutan memberangsangkan yang berterusan terhadap model sedia ada.
Timbalan ketua pegawai eksekutifnya Roslan Abdullah berkata Proton X50 mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan sejak pelancaran model sebelumnya pada Oktober 2020, dan kekal menjadi antara model Proton paling mendapat pilihan sehingga kini.
“Walaupun (2024) X50 ini nampak sama pada luarannya, namun sebenarnya terdapat kira-kira 20 penambahbaikan (dilakukan) melibatkan noise, vibrations and harshness (NVH) untuk keselesaan pelanggan.
“Kita juga tekankan semula mengenai sistem keselamatan kenderaan yang membantu pemandu dan penumpang Proton X50 ini,“ katanya kepada pemberita selepas melancarkan model baharu Proton X50 2024, di sini, hari ini.
Roslan berkata model Proton X50 2024 ini juga akan di eksport ke 11 negara sedia ada yang berada dalam portfolio eskport syarikat tersebut.
“(Proton) X50 juga mendapat sambutan yang baik di beberapa negara luar seperti Brunei, Afrika Selatan, Bangladesh dan juga Pakistan. Malangnya disebabkan Pakistan kini mengalami krisis ekonomi, ia telah menrencatkan sedikit jualan kita di sana,“ katanya.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata Proton X50 2024 yang dinaik taraf mencerminkan komitmen Proton untuk terus menambah baik dan berinovasi sambil mengekalkan kualiti produk yang telah terbukti, seperti yang diharapkan oleh pelanggan.
“Ia menawarkan reka bentuk sporty dan ciri-ciri dipertingkatkan yang mengekalkan kedudukannya sebagai model yang terbukti sesuai untuk pelbagai pelanggan.
“Selain perubahan visual, ia juga akan memberikan nilai yang luar biasa dengan menggabungkan prestasi kukuh dengan ciri-ciri ketersambungan utama dalam kelasnya yang disokong oleh perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang daripada 157 cawangan 3S/4S di seluruh negara,“ katanya.
Kenderaan utiliti lasak (SUV) segmen B Proton yang dinaik taraf itu ditawarkan dalam varian Standard, Executive, Premium dan Flagship yang sama, berharga dari RM86,300 hingga RM113,300.
Berdasarkan daripada data di laman web Proton, harga Ini tidak berubah daripada harga X50 sekarang yang menyatakan varian Standard, Executive, Premium dan Flagship berharga masing-masing pada RM86,300, RM93,300, RM101,800 dan RM113,300, di atas jalan.
Syarikat itu juga memperkenalkan Pakej Early Bird (pembelian awal) bagi tempoh masa terhad yang menawarkan insentif sehingga RM8,500 kepada 5,000 pelanggan pertama yang mendaftar pembelian baharu mereka menjelang 31 Julai 2024.
Selain pakej manfaatnya yang komprehensif, Proton X50 2024 juga dilengkapi dengan jaminan perbatuan tanpa had lima tahun, pakej data lima tahun dengan 1GB sebulan dan perkhidmatan buruh percuma selama enam kali servis.