KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini mengumumkan dua lagi calonnya untuk bertanding di kerusi Parlimen negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 Nov ini.

Presiden parti itu Datuk Peter Anthony dalam sidang medianya hari ini berkata Naib Presiden KDM Datuk Johair Mat Lani, 57, akan bertanding di kerusi Beaufort manakala bekas pemain bola sepak negeri Jekerison Kilan, 52, sebagai calon parti itu Pensiangan.

“Parti KDM setakat ini akan bertanding di tujuh kawasan pada PRU15,“ katanya.

Sebelum ini, Peter mengumumkan beliau sendiri akan bertanding di kerusi Parlimen Tenom, Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda (Kota Marudu), Ketua Pemuda KDM Jumardie Lukman (Sepanggar), usahawan Amat Mohd Yusof (Kimanis) dan ahli perniagaan Liaw Kit Siong (Kota Kinabalu).

Beliau berkata KDM masih menimbang untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen Ranau, Papar dan Keningau selain meneliti permintaan banyak pihak untuk parti itu meletakkan calonnya di kawasan lain. - Bernama