BANGI: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) mencatatkan kejayaan yang membanggakan apabila jumlah pelajar tingkatan empat yang dikenal pasti berpotensi gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor menurun kepada hanya kira-kira 700 orang pada tahun ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata angka itu menunjukkan penurunan ketara berbanding 14,000 pelajar pada 2018 dan sekitar 2,000 orang pada tahun lepas.
“Kejayaan ini adalah hasil intervensi dan kolaborasi yang sangat jitu antara Jabatan Pendidikan Negeri, agensi-agensi negeri dan kerajaan negeri secara keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Tekad Pendidikan Kita Selangor 2025 di sini hari ini.
Bagi memperluas manfaat program itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menambah peruntukan RM1 juta tahun ini bagi membolehkan antara 20,000 hingga 30,000 pelajar tingkatan empat dan lima mengikuti PTRS.
Dalam pada itu, beliau berkata Yayasan Selangor kini dipertanggungjawabkan untuk menyelaras keseluruhan ekosistem pendidikan di negeri berkenaan merangkumi pendidikan rendah, menengah dan tinggi.
Amirudin berkata langkah itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula sistem pendidikan negeri menjelang Belanjawan Selangor 2026, hasil dapatan daripada permukiman Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Negeri.
“Kita meneliti secara keseluruhan ekosistem pendidikan dengan mengenal pasti agensi-agensi dan unit yang sedia ada dalam melaksanakan secara bersepadu program pendidikan negeri,” katanya.
Beliau berkata antara penekanan dalam Belanjawan Selangor 2026 adalah usaha meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pemantapan program intervensi bagi mengurangkan pelajar berisiko gagal SPM.
Selain pendidikan formal, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah pelajar melalui program ekstra kurikulum seperti jelajah dan sekolah angkat.
“Aspek-aspek ini dilihat secara keseluruhan bukan hanya melalui program dan aktiviti formal seperti pendidikan dan pengajaran, sebaliknya program-program ekstra kurikulum,” katanya.
Pada majlis hari ini, Amirudin turut melancarkan modul baharu PTRS 2025 dan Program Didik Kasih iaitu inisiatif khas untuk murid sekolah rendah yang mengalami masalah literasi dan numerasi.