KUALA LUMPUR: Kos pengeluaran ayam pedaging di Malaysia secara purata adalah RM6.53 sekilogram (kg), manakala sebiji telur ayam pula mencatatkan purata kos pengeluaran RM0.48.

Ketua Perangkawan Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata harga sekilogram ayam di ladang pula jika mengambil kira lima, 10 dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran ayam, harga ayam di ladang direkodkan berada di antara julat RM6.86 hingga RM7.84.

“Margin keuntungan sekilogram ayam di peringkat borong pula merekodkan RM1.30, manakala, margin keuntungan sekilogram ayam di peringkat runcit mencatatkan RM1.25,“ katanya dalam kenyataan mengenai Laporan Kajian Khas Kos Pengeluaran Ayam dan Telur 2022.

Dapatan itu diperoleh hasil kajian khas yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tempoh September hingga Oktober 2022, susulan isu berkaitan kos pengeluaran ayam yang dibangkitkan sejak awal tahun lepas disebabkan proses pemulihan ekonomi kesan pandemik COVID-19.

Sementara itu bagi telur ayam, Mohd Uzir berkata sekiranya mengambil kira lima, 10 dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran, harga telur ayam di ladang direkodkan berada di antara julat RM0.50 hingga RM0.58 sebiji.

“Margin keuntungan sebiji telur ayam di peringkat borong dan runcit pula masing-masing mencatatkan RM0.04 dan RM0.02,“ katanya.

Mengulas lanjut mengenai laporan tersebut, Mohd Uzir berkata antara komponen terbesar dalam kos pengeluaran ayam pedaging ialah makanan ternakan (65.1 peratus) dan kos pembelian day-old chick atau anak ayam umur sehari (16.0 peratus).

“Kos makanan ternakan juga berbeza mengikut jenis iaitu bagi ayam pedaging, purata kos makanan ternakan ayam pedaging bagi jenis Starter ialah RM132.04 per 50 kg, manakala purata kos makanan ternakan ayam pedaging bagi jenis Grower dan Finisher masing-masing RM129.71 per 50 kg dan RM126.96 per 50 kg.

“Makanan ternakan ayam jenis Starter lazimnya lebih mahal disebabkan oleh kandungan nutrien yang lebih tinggi dan kesesuaiannya untuk tumbesaran anak ayam,“ katanya.

Bagi ayam penelur pula, purata kos makanan ternakan bagi jenis Starter ialah RM131.57 per 50 kg, manakala jenis Grower dan Layer masing-masing RM117.08 per 50 kg dan RM115.10 per 50 kg.

“Selain itu, semasa kajian, harga belian bagi seekor day-old chick (pedaging) di Malaysia secara purata merekodkan RM2.12 dan RM3.32 bagi seekor day-old chick (penelur). Harga anak ayam ini kebiasaannya berubah bergantung kepada pasaran semasa,“ katanya.

Katanya bagi kos pengeluaran telur ayam pula, ia merangkumi 96.9 peratus kos langsung dan 3.1 peratus kos tidak langsung di mana 76.2 peratus daripadanya melibatkan kos makanan ternakan ayam dan 15.8 peratus adalah kos utiliti, gaji dan upah manakala kos pembelian day-old chick 2.2 peratus.

Mohd Uzir berkata laporan kajian khas itu turut menyediakan analisis mengikut negeri, kapasiti ladang dan kategori penternak dan diharap dapat memberikan gambaran yang lebih baik tentang senario pengeluaran ayam dan telur di Malaysia. - Bernama