KEPALA BATAS: Projek pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah telah siap dan dijangka dibuka kepada orang awam pada suku ketiga tahun ini. Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata galeri tersebut akan dibuka selepas proses repatriasi rangka manusia prasejarah dari Belanda selesai.
“Kita difahamkan delegasi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan ke Belanda dalam bulan ini atau Ogos untuk membawa balik rangka-rangka tersebut,“ katanya. Rangka manusia berusia lebih 5,000 tahun yang dikenali sebagai ‘Penang Woman’ akan menjadi bahan pameran utama di pusat itu.
Selain itu, 41 rangka manusia lain yang ditemui pada 1936 juga sedang dalam proses dibawa pulang dari Belanda. Pusat Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak Bukit Cengkerang Kepah yang mendedahkan bukti masyarakat prasejarah Neolitik di Pulau Pinang berusia sekitar 5,000 hingga 6,000 tahun.
Chow turut menyatakan bahawa pelan pembangunan Visi Penang2030 telah mencapai hampir 80 peratus sasaran keseluruhan. Sistem pemantauan khas, Penang2030 Dashboard, dibentuk bagi membolehkan orang ramai memantau kemajuan visi tersebut secara terbuka.
Lebih 5,000 orang hadir dalam sambutan Festival Penang2030 dan Hari Warisan Seberang Perai yang menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan. - Bernama