SUNGAI PETANI: Projek pembinaan Pusat Darah Wilayah Utara dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober ini, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan. Projek bernilai RM49.9 juta itu dilaksanakan melalui kaedah reka dan bina di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah.
“Pembinaannya bermula pada 2 Ogos 2021 dan dijangka siap dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada pertengahan Oktober ini,“ katanya selepas meninjau kemajuan projek itu.
Pusat darah ini akan dilengkapi makmal moden, ruang pendermaan darah mesra pengguna, serta sistem logistik bersepadu bagi memastikan bekalan darah mencukupi dan selamat. Projek ini melibatkan pembangunan blok utama, blok mekanikal dan elektrikal, serta kemudahan lain seperti kawasan parkir, kafeteria, dan pondok pengawal.
Ahmad menambah, pusat ini bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan tabung darah di wilayah utara, meliputi Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan utara Perak. “Kemajuan fizikal projek telah mencapai 93 peratus tanpa isu kritikal dilaporkan,“ jelasnya.
Pusat ini turut menyediakan 20 katil untuk penderma darah, diikuti proses penyelidikan dan penyimpanan darah pada suhu negatif 40 darjah Celsius. “Sebelum ini, darah hanya disimpan di hospital dengan kapasiti terhad. Kini, pengurusan lebih teratur,“ ujarnya. - Bernama