SHAH ALAM: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyertai kayuhan penutup bagi program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan sempena sambutan 25 tahun Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah universiti di sini.

Tengku Amir Shah berkenan berkayuh bersama 12 lagi peserta bermula di Kampus Puncak Alam ke UiTM Shah Alam bagi menamatkan kayuhan sejauh 2,000 kilometer (km) yang menjelajah ke seluruh kampus universiti itu di setiap negeri di Semenanjung.

Simbolik kayuhan berkenaan adalah bagi membawa kapsul yang mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM dan akan ditanam di monumen yang bakal dibina dan dilancarkan pada acara kemuncak sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos nanti.

Pengayuh wanita tunggal Norlizan Wahid ketika ditemui selepas program berakhir meluahkan rasa bangga kerana terpilih menyertai misi itu dan berjaya melengkapkan kayuhan yang disifatkan amat menguji kekuatan mental serta fizikalnya.

“Saya memang kerap menyertai aktiviti berbasikal, sebelum ini paling jauh saya berkayuh adalah sekitar 350 km sahaja... Alhamdulillah saya dan peserta lain berjaya tamatkan kayuhan dengan selamat.

“Harapan saya sempena sambutan 25 tahun ini agar apa yang kita kumpulkan dalam kapsul itu akan menjadi satu kenyataan dan kami sebagai pembawa harapan setiap kampus amat berbesar hati dan berharap semua aspirasi yang diluahkan akan direalisasikan,“ kata Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Kejuruteraan UiTM Pulau Pinang itu di sini.

Sementara itu Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata UiTM akan sentiasa memfokuskan usahanya terhadap kemenjadian dan kebolehpasaran graduan bagi memastikan institusi berkenaan kekal relevan dan kalis masa hadapan.

Beliau berkata menjelang 25 tahun pengiktirafan UiTM sebagai universiti, kebolehpasaran graduannya kini sudah mencecah 89.4 peratus.