• 2025-07-26 08:58 PM

LABUAN: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke edisi sulung Festival Flora Borneo 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan hari ini. Bertemakan ‘Flora Tropika Borneo’, festival ini menampilkan persembahan tradisional Borneo seperti tarian Magunatip, identiti komuniti Murut di Sabah.

Kehadiran Seri Paduka Baginda disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, bersama isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Raja Zarith Sofiah turut melawat taman-taman tema hasil kreativiti agensi kerajaan, komuniti tempatan, dan NGO. Baginda juga menerima cenderamata orkid hitam Sabah, simbol khazanah botani Borneo yang unik.

Festival ini anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bertujuan merancakkan sosioekonomi dan mempromosikan Labuan sebagai destinasi ekopelancongan. Esok, Seri Paduka Baginda akan merasmikan Galeri Kraftangan Labuan. - Bernama