KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru untuk menzahirkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang, bukan sahaja sepanjang Bulan Kebangsaan tetapi juga pada setiap masa sebagai lambang kebanggaan terhadap identiti negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata semangat Malaysia tidak seharusnya terhenti selepas sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, sebaliknya perlu terus membara dalam jiwa setiap rakyat.
“Kita bukan hanya kibarkan Jalur Gemilang (pada) bulan kebangsaan antara Hari Merdeka, Hari Kebangsaan dan juga Hari Malaysia tetapi marilah kita bersama-sama gunakan peluang ini untuk menggelorakan semangat negara bangsa, sebuah negara bernama Malaysia.
“Kita sama-sama menyanjung tinggi Jalur Gemilang dan saya nampak, kita gunakan peluang ini bukan sekadar pada Bulan Kebangsaan tapi sepanjang tahun. Bukan hanya di bangunan-bangunan ataupun di kenderaan dan premis, yang penting semangat Malaysia itu membara di jiwa dan sanubari rakyat,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di saluran TV1 RTM di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Berhad Nehchal C. Khanna.
Beliau berkata keindahan Jalur Gemilang yang dikibarkan di pelbagai premis, bangunan serta kenderaan bukan sahaja menghidupkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, malah turut menjadi perhatian pelancong asing.
“Kadang-kadang kita dapat dengar daripada pelancong-pelancong yang datang terutama (ketika) Bulan Kebangsaan, mereka tak pernah lihat bendera sesebuah negara itu diperagakan dengan cukup megah di pelbagai bangunan,” katanya.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Malaysia, Fahmi berkata kemuncak sambutan kali ini akan mengekalkan simbolik penandatangan Buku Hari Malaysia yang menggabungkan elemen setiap negeri, sekali gus menzahirkan makna penyatuan negara yang terjalin sejak 1963.
Beliau berkata acara penting dan bersejarah itu akan berlangsung pada malam sambutan Hari Malaysia, 16 Sept di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang, yang buat julung kali dipilih sebagai tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan.
“Biasanya Hari Kebangsaan, akan memperagakan aset-aset ketenteraan dan tahap kesiapsiagaan bagi agensi jabatan, manakala bagi sambutan Hari Malaysia, acara kemuncaknya adalah majlis tanda tangan.
“Buku Hari Malaysia yang ditandatangani Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg), Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) dan juga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Jadi, ini antara acara (sambutan) Hari Malaysia,” katanya.
Fahmi berkata buku itu agak unik kerana mengandungi elemen-elemen daripada negeri serta menyimpan sejarah tersendiri dengan menghimpunkan pencapaian tahunan bagi memperingati Hari Malaysia.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai acara sambutan kali ini, beliau berkata program Memperingati Negarawan anjuran Kementerian Perpaduan juga akan diadakan pada 16 Sept di Kepala Batas bagi mengenang jasa Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Ini sebahagian daripada acara sebenar sambutan Hari Kebangsaan. Acara sampingan, kita ada juga jualan Rahmah, booth daripada pelbagai agensi kerajaan, program MADANI Rakyat yang menyediakan kaunter seperti bayar saman dan sebagainya.
“Kita juga ada satu program, Bersama Malaysiaku yang telah diluncurkan Jabatan Perdana Menteri beberapa bulan lepas. Acara kemuncaknya iaitu pertandingan ini akan kita raikan siapakah yang kita dipilih pemenang pada hari itu (selain) ada beberapa hadiah akan disampaikan pada Hari Malaysia kerana ia satu bentuk penghargaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan sambutan tahun ini membawa kelainan kerana bukan sahaja diraikan di Sabah dan Sarawak sepertimana tahun-tahun sebelumnya tetapi diperluaskan ke seluruh negara dengan kali ini di Pulau Pinang.
“Tahun ini sambutan Hari Malaysia, kalau sebelumnya kita bersilih ganti antara Sabah dan Sarawak, tapi tahun ini Kabinet telah putuskan, yang sambutan harus di seluruh negara. Jadi, bukan sekadar di Sabah atau Sarawak sahaja tapi juga di Semenanjung.
“Saya esok akan ke Pulau Pinang dan akan berkampung untuk melihat sendiri tahap persiapan, melihat, menonton raptai (dan) saya percaya sambutan tahun ini tidak kurang gahnya dan memang akan sangat-sangat meriah... kerana ada pelbagai acara termasuk persembahan artis jemputan,” katanya.
Sementara itu, Nehchal berkata sumbangan QSR sebanyak RM2.8 juta bagi pihak KFC, Pizza Hut dan Life Souces sempena sambutan Hari Malaysia sebagai mencerminkan komitmen syarikat untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan solidariti bersama-sama rakyat negara ini.
“Sumbangan tahun ini penting untuk kami. Ini mencerminkan nilai-nilai kami di QSR Brands. Kami ingin memberi balas kepada komuniti khususnya golongan kurang mampu. Kami selalu sangat menyokong dan dekat juga di QSR Brands, ada inisiatif-inisiatif yang lain juga untuk nation building yang penting sekali untuk kami semua.
“Program Sehati, program KFC Scholarship, kami bagi balik kepada masyarakat untuk nation building, bagi mereka peluang dan komunikasi untuk beri kita peluang bekerjasama untuk Hari Kebangsaan Hari Malaysia. Sebenarnya kerjasama itu sangat dihargai,” katanya - BERNAMA