• 2025-09-30 03:57 PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 hari ini selepas anggota tentera, polis dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah kategori B40 menikmatinya lebih awal.

Orang ramai yang teruja dengan harga petrol RM1.99 seliter berkongsi pelbagai reaksi positif dengan majoriti menyambut baik langkah kerajaan dan merakamkan penghargaan atas bantuan istimewa tersebut.

Tinjauan Bernama di stesen minyak Kota Sarang Semut, Alor Setar mendapati pengguna hadir seawal 6.30 pagi untuk mengisi minyak bagi mengelak kesesakan dan memudahkan urusan dengan petugas ketika pelanggan masih sedikit.

Petugas di stesen minyak kelihatan turut membantu pelanggan membuat transaksi sama ada di pam minyak atau kaunter menggunakan kad pengenalan dengan cepat dan lancar.

Seorang pesara Azemi Ahmad berkata pelaksanaan BUDI95 amat wajar kerana hanya rakyat yang layak dapat membeli minyak pada kadar lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.

“Cara transaksi pun okey, guna kad pengenalan cepat tak ada masalah,“ katanya kepada Bernama di Alor Setar hari ini.

Seorang pekerja syarikat p-hailing Syafik Judin berpendapat sistem BUDI95 berjalan lancar dan sangat mudah untuk dikendalikan dengan bantuan tutorial di media sosial.

“Untuk jangka masa panjang, sistem ini dapat mengekang masalah ketirisan subsidi petrol kepada warga asing,“ katanya.

Seorang jurutera Nadhirah Mokhtaruddin berkata walaupun tidak mahir menggunakan sistem BUDI95 buat kali pertama, namun dengan bantuan pekerja stesen minyak, urusan dapat diselesaikan segera.

Penyelia Petron Setia Alam Mohd Syazwan Mohd Hairi berkata setakat 9 pagi ini, keadaan di stesen minyak kendaliannya berjalan lancar walaupun terdapat sedikit gangguan teknikal pada tengah malam tadi.

R. Asha dari Putrajaya berkata inisiatif BUDI95 memberi manfaat terutama kepada rakyat Malaysia yang kali pertama menikmati kemudahan subsidi petrol secara bersasar.

“BUDI95 ini bermanfaat dan mudah digunakan, saya gembira dengan perkhidmatan ditawarkan,“ katanya.

Abdul Rahim Idris pula mengaku sedikit panik apabila harga tertera di pam minyak tidak memaparkan kadar subsidi meskipun kad pengenalan sudah disahkan.

“Cuma kad pengenalan pun ada masa susah nak baca, jadi perlu dipertingkatkan supaya lebih pantas,“ katanya.

Seorang remaja dikenali sebagai Yong berkata dengan subsidi itu memudahkan golongan muda sepertinya mengurus perbelanjaan harian.

Warga emas Lee Abdul Rahman dari Johor berkata dia telah mengemas kini aplikasi di telefon bimbitnya sejak awal pagi sebelum ke stesen minyak untuk menikmati BUDI95.

“Untuk berniaga setiap hari, saya menggunakan petrol bagi kegunaan kenderaan menghantar barang dan sebagainya,“ katanya.

Pesara Marzuki Abdullah yang menggunakan bayaran secara tunai turut mengakui BUDI95 dapat membantu meringankan bebannya sekeluarga.

“Saya terbiasa mengisi minyak dengan harga RM50 setiap kali, tetapi dengan harga berkenaan saya diberitahu ada lebihan liter,“ katanya.

Pengusaha ladang buah tin Bakhtiar Aliff Ibrahim dari Melaka berkata pemberian BUDI95 dapat mengurangkan perbelanjaan petrol sekitar 20 hingga 25 peratus sebulan.

Seorang penjawat awam Khairul Syahril Othman dari Terengganu menjangkakan dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan sebanyak RM100 melalui inisiatif BUDI95.

“Saya berulang pergi dan balik antara Setiu dan Kuala Terengganu kira-kira 100km setiap hari,“ katanya.

Pekerja stesen minyak Mohd Harris Che Mukhtar berkata insiatif BUDI95 memberi peluang kepadanya membawa isteri dan tiga anaknya bercuti dengan penjimatan yang diperoleh setiap bulan.

Kerani bank Hisyam Mahmud dari Pahang berkata pemberian subsidi sebanyak 300 liter sebulan amat membantu rakyat.

Pekerja swasta Amisah Taborek bersyukur dengan inisiatif berkenaan yang dapat mengurangkan bebannya ketika berdepan kenaikan harga barang.

Nurul Huda Abu Bakar dari Pulau Pinang berkata proses mengisi minyak berjalan lancar dan langkah kerajaan mewajibkan pengguna mengimbas kad pengenalan adalah tepat.

“Sekarang nak isi minyak kena bagi kad pengenalan dan ini yang kita mahukan kerana subsidi diperuntukkan kerajaan hanya untuk rakyat sahaja,“ katanya.

Pesara Ariffin Osman berkata proses mengisi minyak dengan menggunakan aplikasi syarikat minyak sangat mudah dan cepat dengan tidak sampai seminit bagi urusan pembayaran.

Peguam Arthur Yeong dari Perak berkata penebusan subsidi RON95 yang dibuat hari ini mudah dan hanya mengambil masa yang singkat.

“Memang terdapat perbezaan harga dulu RM2.05 dan kini hanya RM1.99,“ katanya.

Penjawat awam Mohd Wazir Ramli berkata dia tidak berdepan masalah semasa mengisi minyak hari ini walaupun sering mendengar aduan mengenai kesukaran sistem.

Suri rumah Surina Bakawi berkata penggunaan kad pengenalan lebih memudahkan dan orang ramai tidak perlu bimbang.

Tinjauan Bernama di sebuah stesen minyak di Kangar, Perlis mendapati kebanyakan pengguna sudah terbiasa menggunakan kad pengenalan untuk mengisi petrol.

Pesara tentera Muhammad Aswad Idris berpandangan pelaksanaan inisiatif BUDI95 itu wajar selain dapat membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Suri rumah Rosmawati P. Ramli berkata dia berpuas hati dengan kelancaran sistem BUDI95 dan urusan mengisi petrol juga mudah.

Pekerja kantin Rozilawati Abdul Rani dari Sarawak memuji inisiatif Kerajaan MADANI itu kerana memastikan rakyat menikmati harga petrol pada kadar sama.

Pelajar universiti Mohammad Shahrul Affendy berkata dengan BUDI95, dia memperoleh penjimatan antara RM5 hingga RM6 sebulan yang boleh digunakan untuk keperluan lain.

Pekerja swasta Lailawati Ramlee dari Sabah berkata pelaksanaan BUDI95 membuatkannya rasa istimewa sebagai rakyat Malaysia.

Kerani majlis perbandaran Rchmond Bryan Kimpong berkata inisiatif BUDI95 dapat membezakan rakyat Malaysia dan warga asing.

Pemotong rumput warga Indonesia Sidas Ladati berkata dia tidak dapat menikmati harga subsidi minyak dan membeli minyak pada harga pasaran iaitu RM2.60.

“Rakyat di negara ini harus bersyukur kerana mempunyai kelebihan untuk menikmati subsidi minyak,“ katanya.

Peniaga kecil Ahmad Fauzi dari Kelantan berkata BUDI95 sangat membantu peniaga kecil sepertinya terutama ketika harga bahan api meningkat.

“Setiap sen yang dapat dijimatkan memberi impak besar kepada perniagaan harian saya,“ katanya.

Guru Hafizul Hakim dari Kota Bharu berkata pelaksanaan BUDI95 membantunya mengatur perbelanjaan bulanan sekali gus mengurangkan tekanan kewangan.

Tukang masak Muhammad Daniel dari Negeri Sembilan menyifatkan rakyat Malaysia bertuah kerana kerajaan tidak membiarkan rakyat menanggung harga minyak yang tinggi seperti di negara lain.

“Saya pun baru tahu hari ini dapat harga subsidi, sangat murah berbanding petrol di Singapura lebih kurang SGD 2.88,“ katanya.

Mohd Fauzi B Mohd Sapore turut bersyukur dengan harga petrol RM1.99 seliter itu kerana dapat mengurangkan beban kewangannya yang berulang-alik dari Seremban ke Rawang. – Bernama