KUALA LUMPUR: Seramai 226 pelajar dalam kawasan Parlimen Sungai Buloh yang memperoleh kejayaan memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lepas, diraikan dalam satu majlis khas oleh ahli Parlimen kawasan itu Datuk R Ramanan dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini, hari ini.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata inisiatif yang melibatkan peruntukan bantuan berjumlah RM100,250 itu bertujuan membantu usaha meningkatkan pencapaian akademik di samping memberi motivasi kepada golongan berkenaan untuk lebih berjaya di masa akan datang.

“Saya sangat menghargai sokongan padu dan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh YBR dalam meningkatkan tahap pendidikan pelajar-pelajar terutamanya di Parlimen Sungai Buloh.

“Saya amat berharap usaha murni sebegini akan dapat diteruskan lagi di seluruh negara dan sekali gus membantu meningkatkan mutu pendidikan negara ke arah peringkat seterusnya. Saya juga akan pastikan program ini dapat dilaksanakan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan Program Bantuan Kecemerlangan SPM Parlimen Sungai Buloh di Dewan Meranti Sungai Buloh di sini hari ini. Turut dihadir ialah Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Datuk Zamri Salleh yang juga Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP.

Majlis itu diadakan secara dua fasa iaitu di Kota Damansara minggu lepas dan di Paya Jaras hari ini.

Sementara itu Philip berkata bantuan insentif kepada pelajar terlibat diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berjaya di dalam pendidikan, selain menguatkan semangat mereka untuk terus mengekalkan momentum mencapai keputusan cemerlang.

Semua pelajar yang menerima bantuan hari ini terdiri daripada pelajar dari tujuh sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buloh, SMK Bukit Gading, SMK Bukit Rahman Putera, SMK Saujana Utama, SMK Subang, SMK Subang Bestari dan SMK Seksyen 10 Kota Damansara.

Daripada jumlah itu 106 pelajar memperoleh 7A, 64 pelajar memperoleh 8A, 47 pelajar mendapat keputusan 9A, lapan orang mendapat 10 A manakala seorang lagi berjaya memperoleh 11A.