KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi dijangka membentangkan rang undang-undang rangka kerja kawal selia progresif mengenai pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Parlimen pada sesi November ini, kata menterinya Rafizi Ramli.
Beliau berkata rangka kerja kawal selia progresif itu akan dibentangkan terlebih dahulu pada mesyuarat Kabinet minggu depan sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan pada akhir tahun ini.
“Kita mempunyai peluang untuk menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai pemimpin serantau tetapi pemimpin di peringkat global dalam CCUS dan kerajaan sedang berusaha untuk memastikan kita merebut peluang itu.
“Berdasarkan pertimbangan modal yang ketara, satu rangka kerja diperlukan untuk menjamin ekonomi pelaburan ini. Kita mempunyai platform ini untuk menjadikan Malaysia sebagai hab CCUS serantau.
“Kerajaan memahami keperluan untuk bertindak dengan segera,” katanya dalam ucaptama pada forum CEO OGSE100 anjuran Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) hari ini.
Pada sidang media, Rafizi berkata rang undang-undang itu akan melihat kepada keseluruhan aspek yang diperlukan untuk membina satu industri baharu yang memberi panduan dari segi kelulusan kawal selia permohonan kepada industri dan pada masa yang sama melindungi kepentingan orang ramai.
“Pada masa ini, kita tidak ada badan yang mengawal selia, tidak ada sebarang agensi atau jabatan kerajaan yang menetapkan piawaian. Kita tidak ada undang-undang yang menetapkan liabiliti dan peraturan.
“Dengan adanya kerangka ini, membolehkan pelabur masuk ke Malaysia kerana nilai industri ini untuk tempoh 20 tahun akan datang (dijangka) mencecah RM100 bilion.
“Justeru, pelaburannya sahaja melibatkan berpuluh bilion ringgit,” katanya, sambil menambah sesi libat urus telah diadakan dengan pemain industri.
Sementara itu, Rafizi berkata pengeluaran minyak Malaysia dijangka mencatatkan penurunan sebanyak 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang manakala penggunaan tenaga negara diunjurkan hampir dua kali ganda menjelang 2050.
Justeru, katanya negara tidak boleh lagi bergantung kepada dominasi dalam minyak dan gas sebelum ini untuk terus memenuhi permintaan Malaysia pada masa depan.
Beliau berkata dengan mengemukakan naratif yang lebih menyeluruh untuk perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) serta peranan penting yang dimainkannya untuk masa depan negara, industri ini boleh beralih kepada tahap yang lebih baik.
“Itu sebabnya Kementerian Ekonomi, melalui MPRC akan menjalankan Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan OGSE Kebangsaan pada akhir tahun ini.
“Banyak yang telah berubah sejak penubuhannya pada 2021 dan semakan diperlukan untuk mencerminkan keutamaan baharu kita dan untuk menyelaraskan dengan pelan tindakan yang terkini,” katanya.