TELUK INTAN: Identiti rangka manusia yang ditemui dalam sebuah rumah kayu lama dua tingkat di Jalan Sungai Nibong pada 19 Julai lepas masih belum dikenal pasti sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin memaklumkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilaksanakan bagi menentukan identiti mangsa.
“Minggu ini pasukan forensik telah mengambil sampel daripada adik-beradik untuk dibuat perbandingan dengan mangsa. Polis dengan pasukan forensik juga telah pergi ke lokasi untuk mencari bahan bukti yang berkaitan. Mangsa juga mempunyai rekod pernah membuat rawatan gigi pada April lepas,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Bakri menyatakan polis menemui rangka manusia selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 78 tahun mengenai bau busuk di lokasi tersebut. Siasatan awal dengan bantuan pihak bomba berjaya mengesan rangka dan tengkorak bersama seekor anjing serta barang-barang peribadi milik mangsa di tingkat atas rumah.
Difahamkan, rangka itu dipercayai anak bongsu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Wah Keng Jooi yang berkhidmat dari 1959 hingga 1964. - Bernama