KUALA LUMPUR: Malaysia menetapkan hala tuju jelas untuk muncul sebagai peneraju ekonomi digital dan teknologi hijau di rantau Asia Tenggara menjelang 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ‘peluang generasi’ dalam kecerdasan buatan (AI) kini berada di depan mata dan tidak harus dilepaskan.
“Malaysia menetapkan hala tuju yang jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu dengan aspirasi untuk muncul sebagai pemain berpengaruh pada peringkat global,“ katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata penerapan inovasi teknologi tempatan akan diberi tumpuan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam pembangunan aset digital strategik seperti AI, data analitik dan sistem digital kerajaan selain mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) berteraskan ‘Made by Malaysia’.
Beliau berkata langkah ini penting bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia selain membangunkan industri lebih mampan dan berimpak tinggi selaras hasrat menjadi negara berteraskan AI.
RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ merupakan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026-2030.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan komited untuk menambah baik infrastruktur digital bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi baharu dan menarik pelaburan strategik dalam sektor pusat data.
Beliau berkata ikhtiar ini juga membolehkan lebih banyak perkhidmatan digital dalam talian melibatkan sektor pendidikan, perkhidmatan e-dagang dan aplikasi pintar dinikmati secara meluas.
Perdana Menteri berkata bagi memperluas adaptasi AI merentasi pelbagai sektor, kerajaan berhasrat untuk memperluas jaringan 5G kepada 98 peratus di kawasan berpenduduk dan perindustrian termasuk desa menjelang 2030 selaras komitmen melahirkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan digital baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi menjamin keselamatan ekosistem digital, strategi kepercayaan digital dan keselamatan data nasional akan dilancar termasuk melalui penerokaan teknologi komunikasi kuantum selain memperkukuh kawal selia melalui penubuhan Suruhanjaya Data serta pelaksanaan bank data negara.
Anwar juga berkata pelaksanaan dasar dan strategi utama seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia akan diberi keutamaan dengan fokus kepada pelaksanaan yang berkesan dan memberi manfaat terus kepada rakyat serta industri.
Beliau berkata Malaysia juga akan memperkenal Identiti Digital Perniagaan selain menggalakkan penggunaan ‘digital twin’ bagi meningkatkan daya saing dan inovasi pemain industri.
Perdana Menteri berkata dalam usaha membina asas yang kukuh, program literasi AI akan dipupuk seawal peringkat rendah selain memperluas harta intelek tempatan, meningkatkan suntikan dana strategik serta menggalakkan kolaborasi rentas sektor antara pemain industri, institusi penyelidikan, universiti dan inovator muda negara.
“Pendekatan ini akan memastikan ekosistem inovasi negara dapat berkembang secara menyeluruh dan memberi pulangan jangka panjang kepada ekonomi dan rakyat,” katanya - BERNAMA