SHAH ALAM: Bekas Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM5,000, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu terhadap Khusairi Husain, 59, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mohd Nasir dalam penghakimannya menegaskan pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada bukti yang konsisten dan konkrit bagi menyangkal pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Tertuduh mengakui menerima wang itu tetapi mendakwa ia untuk sumbangan Kelab Kebajikan dan Sukan LKIM Selangor, namun gagal mengemukakan sebarang resit dan dokumen sokongan bagi membuktikan wang itu diserahkan kepada kelab berkenaan, malah turut mengakui sebahagian wang itu digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Khusairi yang ketika itu sebagai Pengarah LKIM Selangor didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang dia ketahui agensi itu ada kena-mengena dengan tugasan rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 24 Nov 2020, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Adly Zulfadly Zulkefly yang mewakili Khusairi dalam mitigasinya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dan memberikan penangguhan hukuman selain turut memaklumkan anak guamnya seorang bapa tunggal dan menyara anak-anak yang masih bersekolah serta bapa yang sakit di kampung.

Beliau berkata anak guamnya telah berkhidmat selama hampir 30 tahun di agensi berkenaan dan penerima anugerah perkhidmatan cemerlang di jabatannya serta tidak mempunyai rekod jenayah.

“Tertuduh sehingga hari ini telah digantung tugas dan dibekukan jawatan dan tidak lagi berkhidmat sepertimana ditugaskan dalam jawatannya,” katanya.

Pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shahruzaman bagaimanapun memohon hukuman setimpal serta menegaskan sebagai pengarah Khusairi telah menunjukkan teladan yang tidak baik kepada orang bawahannya dan masyarakat umum.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman sehingga proses rayuan dibuat pihak pembelaan dengan wang jaminan dinaikkan kepada RM9,000.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding yang bermula sejak 2022.