KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi individu iaitu ketua penolong pengarah sebuah badan berkanun, selepas dipercayai terlibat dalam kes rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion, membabitkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Sumber SPRM berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada 10 malam, semalam selepas hadir memberi keterangan.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah lebih RM146,000 (wang diterima suspek) daripada satu syarikat sebagai balasan bagi mendapat kontrak kerja membabitkan pembinaan sebuah lebuh raya,” katanya.

Menurut sumber, suspek ke-10 itu direman empat hari sehingga 1 Julai ini selepas pihaknya mendapat perintah reman yang dikeluarkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Penahanan suspek itu susulan tangkapan sembilan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya oleh SPRM sebelum ini berhubung kes yang sama.

Sementara itu, sumber berkata Majistret Nazira Adlin turut membenarkan permohonan SPRM untuk menyambung reman empat suspek termasuk CEO syarikat konsesi lebuh raya yang ditahan Isnin lepas, bermula esok sehingga 2 Julai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan seorang lagi suspek berkenaan, serta penyambungan reman terhadap keempat-empat suspek dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.