• 2025-09-10 03:12 PM

PUTRAJAYA: Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dijangka mampu menjimatkan sehingga RM1.5 bilion tahun ini melalui pelaksanaan lebih 700 projek.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyatakan bahawa sebanyak RM542 juta telah dijimatkan menerusi inisiatif RKB pada tahun lepas.

Beliau berkata Pekeliling RKB telah dilancarkan pada 24 November tahun lepas bagi memastikan pegawai awam membuat pembaharuan cara kerja dari segenap aspek.

Inisiatif ini menyasarkan transformasi perkhidmatan awam dengan meningkatkan kecekapan dan penggunaan sumber di semua peringkat kerajaan.

Antara kejayaan RKB termasuk langkah Kementerian Perdagangan dan Industri yang memperkemas tadbir urus pembiayaan sektor aeroangkasa dengan penjimatan RM17 juta.

Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia berjaya mempercepat tempoh penilaian tender daripada 35 hari kepada 18 hari.

Majlis Perbandaran Kulim, Kedah berjaya mengurangkan tempoh proses permit pembinaan daripada 24 bulan kepada hanya 10 bulan.

Kerajaan sedang mengukuhkan reformasi ini dengan menggubal Akta Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam (ILTIZAM).

Akta ILTIZAM bertujuan mengurangkan birokrasi dengan mempercepatkan proses perkhidmatan bagi meningkatkan kualiti dan ketelusan penyampaian.

Simposium hari ini merupakan pendekatan kerajaan untuk mewujudkan persefahaman dalam suasana yang kondusif dengan rakan strategik. – Bernama