PUTRAJAYA: Seorang remaja perempuan ditahan polis kerana disyaki menceroboh dan menyamar sebagai petugas hospital, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata remaja berusia 14 tahun warga tempatan itu ditahan pada 9 pagi di lobi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang ada menerima laporan daripada kakitangan hospital berkenaan pada 1 tengah harI, berkaitan seorang perempuan tidak dikenali berada dalam dewan bedah mengaku pegawai perubatan yang akan membantu menjalankan pembedahan.

“Hari ini lebih kurang 8.30 pagi, pihak hospital telah mengenal pasti kehadiran individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter menggunakan identiti palsu. Pihak hospital terus menghubungi polis dan tangkapan telah dilakukan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas baju dan seluar scrub serta lanyard hak milik hospital.

Wan Kamarul Azran berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar penjawat awam.

Jika sabit kesalahan menceroboh, boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman menyamar penjawat awam pula boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya telah menerima laporan mengenai tingkah laku mencurigakan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan yang bertugas di HSIS, semalam.

“Tindakan pantas pihak HSIS telah berjaya mengesan identiti individu terbabit dan laporan polis telah dilakukan,“ katanya.

Menurut kenyataan itu kes tersebut masih dalam siasatan dan KKM akan memberi kerjasama penuh bagi membantu pihak polis.