Your Title

KUALA NERANG: Remaja lelaki berusia 19 tahun yang dilaporkan hanyut dibawa arus deras bersama ibunya di Kampung Tanjung Kanan di sini pagi tadi, ditemukan lemas petang ini.

Mayat Muhammad Rosman Rohadi, yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran ditemukan pada 5.25 petang kira-kira 150 meter dari lokasi dua beranak itu dilihat hanyut.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata mayat mangsa dijumpai oleh pasukan penyelamat tersangkut di sisa pelepah kelapa sawit di dasar kawasan banjir.

“Usaha mencari seorang lagi mangsa iaitu ibu kepada remaja itu sedang dilakukan dengan memfokus kepada kawasan penemuan mayat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa diteruskan hingga 7 malam ini dan akan ditangguhkan hingga pagi esok sekiranya mangsa gagal ditemui hari ini.

Mulkiaman berkata sebelum ini pasukan penyelamat menemui sepasang dan sebelah selipar dipercayai milik dua beranak tersebut di kawasan tidak jauh dari lokasi mereka dihanyutkan.

“Berdasarkan petunjuk itu, pasukan mencari dan menyelamat menumpukan pencarian di kawasan tersebut dengan kaedah mengharungi banjir disebabkan air yang semakin surut dan tidak boleh dilalui bot,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian kira-kira 8 pagi tadi dua beranak Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya, Muhammad Rosman dihanyutkan arus deras banjir ketika cuba menyeberang untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan, di sini.