PASIR PUTEH: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah motosikal di Jalan Jerus-Kok Lanas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata dalam kejadian 7.40 malam itu, dua penunggang motosikal lelaki berusia 18 dan 21 tahun hilang kawalan ketika melalui jalan berkenaan sebelum melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua penunggang motosikal berusia 18 tahun dan 21 tahun mengalami kecederaan parah dan masing-masing dirawat di Hospital Machang dan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

“Sementara itu, mangsa berusia 17 tahun maut di tempat kejadian dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan nahas itu boleh terus ke balai berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Inspektor Muhammad Firdaus Adzmi di talian 011-1110 1606,“ katanya.