KUALA LUMPUR: Tempoh reman terhadap seorang pempengaruh media sosial yang disyaki menghantar gambar berbaur lucah kepada sorang remaja perempuan, disambung hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata tempoh reman terhadap lelaki berusia 22 tahun itu disambung sehari hingga esok.

“Lelaki terbabit sebelum ini direman empat hari hingga 26 Mei dan mahkamah membenarkan untuk sambung reman sehari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

Pada 23 Mei lepas media melaporkan pempengaruh direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar gambar berbaur lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.