SHAH ALAM: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menumpukan usaha merapatkan jurang sosioekonomi dan pembangunan mengikut negeri serta wilayah secara bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata ia selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mahu mengimbangi antara tumpuan pembangunan ekonomi dan hasrat orang awam berkaitan kebajikan serta mutu hidup rakyat biasa sepanjang tempoh lima tahun pelan pembangunan negara itu.
“Kita harap usaha untuk merapatkan jurang sosioekonomi dan pembangunan mengikut negeri serta wilayah dapat diganding secara bersama kerana selalunya beban memajukan ekonomi digalaskan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan atas alasan peruntukan itu mesti datang daripada Persekutuan.
“Hasrat kita ialah supaya tidak ada jurang besar kerana kita tahu apabila menjadi sebuah negara maju, ia tidak diukur semata-mata dari segi angka-angka ekonomi tetapi juga tentang bagaimana kebajikan serta mutu hidup rakyat biasa disediakan sesuai dengan status sebuah negara maju,” katanya.
Rafizi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus (SLU) RMK13 bersama Kerajaan Negeri Selangor yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.
Selangor adalah negeri pertama menjadi tuan rumah SLU bagi mengumpul idea dan pandangan berhubung perancangan pembangunan lima tahun negara yang dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kerajaan negeri, penggiat ekonomi serta wakil industri dan orang awam.