Your Title

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Roslan Ismail dilantik Ketua Pengarah Kerja Raya baharu berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelantikan bagi menggantikan Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool yang bersara wajib pada Disember tahun lepas.

Beliau berkata Roslan berpengalaman luas dalam pengurusan aset menyeluruh dan pernah memegang jawatan strategik antaranya Jurutera Daerah, Pengarah JKR Negeri, Pengarah Pembinaan dan Pengarah Kanan.

“Jadi pelantikan ini melalui prosedur standard yang telah ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan saya ucapkan tahniah kepada beliau,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Nanta berkata dengan pengalaman dan kredibiliti dimilikinya, beliau yakin Roslan mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan untuk terus meningkatkan kecemerlangan JKR dalam memastikan projek awam disiapkan dengan mutu tinggi menepati spesikasi dari segi kualiti, masa dan kos, selari aspirasi Malaysia MADANI.

Roslan yang memiliki Sarjana Pengurusan Projek dari Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai pengalaman luas selama 29 tahun khusunya dalam perancangan dan pelaksanaan projek awam yang berimpak tinggi dan pembangunan industri pembinaan.

Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan di pelbagai peringkat sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun ibu pejabat antaranya sebagai Pengarah JKR Negeri Pulau Pinang, Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas dan Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu.