KUALA LUMPUR: Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) yang dipantau oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara (MED4IR), menggariskan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pembangunan dan penerimagunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan blockchain.
Kementerian Digital berkata usaha lain membabitkan penerokaan teknologi generasi baharu seperti NextGen Computing dan Digital Twins bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Usaha terbabit juga berasaskan tiga tonggak utama iaitu meningkatkan pertumbuhan dan daya saing ekonomi digital melalui transformasi ekonomi yang dipacu teknologi digital yang tidak terhad kepada penggunaan teknologi-teknologi baharu seperti Data Trust, NextGen Computing selain Digital Twins.
“Kedua, meningkatkan akses dan kecekapan perkhidmatan digital kerajaan melalui transformasi digital dan model GovTech yang turut disokong oleh teknologi seperti pengkomputeran awan, AI dan data raya.
“Ketiga membabitkan pembinaan masyarakat digital melalui usaha berterusan untuk meningkatkan pengetahuan dan literasi digital serta kemahiran menggunakan teknologi digital secara inklusif di kalangan rakyat,“ katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada hari ini.
Ini bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai pelan tindakan khusus yang sedang dan bakal dilaksanakan bagi memperkasa kepimpinan digital dan pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, kementerian itu turut mengiktiraf potensi transformatif teknologi baharu seperti AI dan sedang giat berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipacu oleh teknologi itu.
Ini termasuk Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang telah dilancarkan pada Disember 2024 dan menjadi antara manifestasi usaha berterusan itu, kata Kementerian Digital.
Menurutnya, NAIO dengan kerjasama Google Malaysia juga telah melancarkan Program AI Bagi Perkhidmatan Awam yang menyediakan keupayaan AI seperti Gemini dan Notebook LM kepada 445,000 pegawai sektor awam.