KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dijangka dibentang di Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2026.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata RUU itu kini berada di peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara.
“Insya-Allah, sebaik sahaja RUU ini dimuktamadkan kita akan bentang di Dewan Rakyat,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad yang ingin tahu sama ada kerajaan dapat menjamin pelaksanaan RUUPIN secepat mungkin.
Johari menegaskan tiada aktiviti perlombongan berlaku dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Malaysia ketika ini.
Bagi menilai kebolehlaksanaan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di HSK, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan menjalankan kajian impak selama lima tahun.
Kajian itu meliputi enam aspek utama iaitu hidrologi, tanah, flora, fauna, stok karbon dan sosioekonomi.
Beberapa agensi teknikal seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar turut terlibat dalam kajian tersebut.
FRIM juga telah menjalankan kajian jangka pendek di ladang getah di Mukim Kenering, Perak menggunakan kaedah perlombongan larut lesap.
“Aktiviti perlombongan REE hanya memberi impak negatif minimum jika dijalankan mengikut prosedur operasi standard,” jelas Johari.
Data ulangan bagi 2025 sedang dikumpul untuk perbandingan dan dijangka selesai pada September 2025.
Johari menekankan sebarang keputusan dasar mengenai perlombongan di HSK hanya akan dibuat selepas kajian FRIM selesai sepenuhnya. – Bernama