SABAK BERNAM: Sabak Bernam perlu memenuhi beberapa kriteria termasuk kawalan lebih 50 peratus kawasan perbandaran untuk membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dinaik taraf sebagai majlis perbandaran.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata PBT berkenaan, merupakan satu-satunya yang masih berstatus sebagai majlis daerah di Selangor.

Beliau berkata untuk ke arah itu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) perlu memenuhi pelbagai kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Cabaran bagi Sabak Bernam kerana mempunyai kawasan luar bandar yang besar. Dari segi peratusan daerah itu belum lagi jadi kawasan yang boleh ada operasi dan pemantauan PBT atau mungkin terkeluar daripada ruang lingkup KPKT.

“Kalau keluar maknanya nilai hasilnya sedikit dan simpanannya sedikit. Jadi kerajaan negeri perlu memikirkan sesuatu untuk boosting daerah ini, antaranya menerusi Pembangunan Wilayah Sabak Bernam (SABDA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Selangor 2025 (Penggantian), di sini hari ini.

Selangor mempunyai 12 PBT dengan empat daripadanya berstatus bandar raya, tujuh berstatus perbandaran dan satu masih di peringkat majlis daerah.

Sementara Amirudin berkata Projek Rel Selangor, yang dicadangkan untuk dibangunkan di bahagian utara negeri itu bagi menghubungkan kawasan tersebut dengan dengan kawasan lain di Lembah Klang, akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025.

“Saya akan umumkan dalam bajet, apa langkah kita seterusnya supaya kita dapat merealisasikan projek tersebut.

“Paling tidak (jajaran) itu sampai ke Tanjong Karang, sampai situ pun orang Sabak Bernam boleh pergi ke Kuala Lumpur dengan separuh perjalananannya menggunakan kenderaan sendiri dan separuh lagi dengan kereta api,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata sebanyak lima teras perancangan dengan 17 strategi pembangunan dan 176 cadangan pembangunan dalam bentuk projek, program, kawalan dan pengurusan telah dirangka dalam Draf Rancangan Tempatan MDSB Selangor 2035 (Penggantian) untuk memandu arah pembangunan Sabak Bernam.

Selain itu, enam inisiatif pembangunan utama (KDI) turut dirangka merangkumi aspek pertanian dan perikanan, ekonomi dan pelancongan, sosial dan pemerkasaan masyarakat yang dijangka dapat memberi impak positif bagi pertumbuhan pembangunan Daerah Sabak Bernam.