KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, Jumaat ini.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis bertemakan “Membangun Ummah MADANI” itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut dijadual hadir bersama jemaah menteri, timbalan menteri, ketua jabatan dan agensi kerajaan serta perwakilan asing.
“Mesej utama sambutan kali ini adalah mengenai kepentingan mengambil ibrah (pengajaran) daripada peristiwa hijrah dalam usaha membangunkan ummah.
“Pembangunan ummah MADANI menepati elemen keterangkuman dalam membina masyarakat bertamadun, bukan sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi rohani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata kemuncak majlis ialah Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong serta pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa kepada individu yang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan ummah dan penyebaran syiar Islam.
Beliau berkata seramai 8,000 tetamu dijangka menghadiri majlis yang bermula pada 9.30 pagi itu.
Selain itu, majlis bacaan doa akhir dan awal tahun diadakan di Masjid Negara pada 6.30 petang, Khamis ini dengan dipimpin Imam Besar Ehsan Mohd Hosni, dan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
“Semoga sambutan Maal Hijrah tahun ini membawa sinar baharu kepada umat Islam dalam menghayati semangat kesepaduan ummah sebagaimana diasaskan Rasulullah SAW di Madinah,” katanya.