• 2025-06-25 09:23 PM

MUAR: Polis menahan seorang bapa dan anak lelakinya serta merampas serbuk ekstasi seberat 6.38 kilogram (kg) bernilai lebih RM1 juta di sebuah rumah di Bukit Treh, di sini, 16 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata ketika serbuan, masing-masing yang berusia 49 dan 23 tahun itu sedang leka menumbuk serbuk ekstasi sebelum diproses ke dalam peket minuman.

“Dalam serbuan antara 4 petang hingga 10 malam itu, polis menemukan serbuk ekstasi seberat 6.38 kg bernilai RM1.06 juta dan beberapa peralatan memproses serta membungkus semula dadah.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dengan nilai sitaan RM13,000 dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR bernilai RM7,000 yang dipercayai kedua-duanya digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati suspek menjalankan kegiatan itu sejak Februari lepas manakala dadah dirampas mampu digunakan kira-kira 2,000 penagih.

Kedua-dua beranak itu, katanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dengan lelaki berusia 49 tahun terbabit pernah dipenjarakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.